Pages

Labels

Ceritalah (295) Me (192) diari ibu (165) Amar (77) Pesanan (74) Resipi (74) kucing (73) Kebun Biasa2 (55) Rumah Biasa2 (46) Yg Tersirat/Tersurat (38) cerita lama (21) Jalan-jalan (20) Jodoh (18) Cucu (15) 3R (14) Puasa (11) Hawa TDS (10) Lawak sikit (9) PETUA (7) Kawan (6) Musing (6) Raya (5) Rumah WM (5) Lukislah anakku (4) Nature (4) ipoh (4) Haji (3) Migraine and I (3)

30 November 2011

Bila kena jaga Mok ...

Mok ... mak mertua saya yg berusia 92 tahun, dah hampir sebulan dia tinggal di rumah kami
Kalau ikut teori ... Mok sepatutnya nyanyuk & bergantung sepenuhnya kepada orang lain utk uruskan dirinya
Tapi ... Mok buktikan teori tu salah!!
Menjaga Mok adalah sesuatu yg amat senang ...
Cuma jaga makan pakainya sahaja ...
Yang lain, semua Mok boleh uruskan sendiri ... tak payah susahkan anak cucu!!
(harapan saya pun begitu ... kalau Allah SNW panjangkan umur, tak nak susahkan anak cucu)
Cuma ... sinonim dgn umurnya,
Mok kurang dengar, kurang ingatan nya ... biasalah, hukum alam.

Mak Mertua & saya
(posing masa Raya Korban baru2 ni ... )
Makan Mok senang sangat ...
Pagi: Secangkir besar air Milo, sebiji telur 1/2 masak dan roti/biskut!
Kalau masak mee goreng, penkek, nasi lemak, pulut ikan ... Mok makan kemudian, 'high-tea'
Tengahari & Malam: Mok makan apa yg kami makan ... tapi jgn sekali2 tinggalkan BUDU & ULAM ...
Sebab tu Mok sihat sampai sekarang!!
Petang: Segelas air Milo & goreng pisang/keropok goreng/kueh mueh ringan

Menu wajib Mak - Ulam & Budu
(yg lain 'side dishes' aje bagi dia ...)
Telah bersabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yg kami panjangkan umurnya & dapat mencapai 40 tahun di dalam agama Islam, akan dijauhkan Allah drpdnya berbagai bala, iaitu gila, kusta & sopak. Dan apabila mencapai umur 50 tahun, Allah akan meringankan perhisaban baginya, dan apabila dia mencapai 60 tahun, Allah akan memberi rezeki yg berupakan pendekatan diri kepada NYA, dan apabila dia mecapai 70 tahun, diampuni Allah dosanya yg dahulu & yg sekarang, dan dia diberi gelar 'Asirullah' yakni 'Tawanan Allah', dan akan mencintainya seluruh penduduk langit (Malaikat)"

Mok sudah jadi tawanan Allah SNW. Tetapi Mok tetap jaga solat (walaupun kdg2 'timing' waktu lari ... sikit aje)
Mok sentiasa dalam berzikir (buah tasbih sentiasa ditangan),
Kalau keluar rumah, Mok tetap jaga auratnya ... MasyaAllah!!!
Tapi Mok tetap rindu rumahnya ... hari2 Mok sebut, "Bilo Zah nok kelik?" (p.s. K.Zah, kakak ipar yg jaga Mok balik Kuantan, jaga anaknya sakit ... )
Hmmm ... kesian Mok, rindu dgn kereta2 yg menderu (sambil baring pun Mok nampak!), rindu kutip cili padi yg ditanamnya (yg dlm budu tu dia bawa bekal dari rumah), rindu tengok orang beli keropok (kedai adik saya depan rumahnya), rindu jiran2 datang bertandang, rindu tilam bantalnya ...
Kesian Mok ... tapi siapa nak jaga Mok kat kampung?
K.Zah ... cepatlah balik!!!!

"Seorang ibu boleh jaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu!" 
Buktikan ungkapan ini salah!!!

Dulu & Sekarang ...

Dulu ... waktu saya masih muda, masih kerja & anak2 bersekolah lagi
Cuti sekolah bermakna ... balik kampung
Dan ... tinggalkan anak2 dgn nenek & datuk mereka (saya tahu mereka suka)
Tinggal kami hanya berdua ... (ha ha ha) Merdeka!!
Saya boleh 'enjoy window shopping' sepuas2nya (hobi ...)
Tak payah masak ... balik kerja 'dating' dgn suami dulu, minum petang!
Malam, 'dinner date' pula. Ada masa, bersiar ... berdua2an, macam 'couple'. Bahagia ...
(p.s. kalau rindu anak2, telefon aje ...)

Kini ... saya & suami dah 'senja', saya memang dah lama tak kerja
Cuti sekolah ... nenek kat kampung dah awal2 'booking' cucu2nya
Dah jadi 'routine' dia (kan dulu2 saya yg mulakannya ...)
Semenjak Ayah meninggal dunia ... pantang ada cuti, Mak akan bertanya
"Mana budak2 nya?" ... (-_-')
Maka ... dalam terpaksa, hantar jugalah Muaz & Amar padanya
Bila suami pergi kerja ... saya?? (hu hu hu ...)
SUNYI sesunyi sunyinya !!! (rasa2 macam pernah dengar lagu yg ada lirik macam ni ...)
Cepatlah sekolah buka semula ....
(p.s. mujur ada Milo & Kopi, penglipur lara ...)

28 November 2011

Milo & Kopi ... Dah Kawan

Minggu lepas


Alhamdulillah pagi ni ...


Milo & Kopi pun seronoklah bercanda di bawah sinaran mentari ...
Minggu suaikenal telah berlalu ... Milo & Kopi dah 'kamceng' kini ...
Seronok Milo dapat adik ... Kopi dapat abang ...
Maka, galaklah mereka berdua bermain!
Lari sana, berguling sini ... main sorok2 ... main kejar2 ....
"Splash!!!" ... Kopi jatuh longkang ...
Apalagi ... Mama yg sekian lama geram nak mandikan Kopi pun terus ambil peluang keemasan ini ...
(p.s. Milo ... lari tak cukup tanah)

'Mama kejam ....'
'Meh .. abang Milo tolong!!'
p.s. Milo ... jaga adik 'tino', Kopi molek2 sbb Mama lihat 'semenjak 2 menjak' ni, tiba2 ada 4 mata sedang memandangnya dari jauh. Satu 'putih tompok hitam' & satu lagi 'hitam tompok putih' ....

27 November 2011

Hijrah ...

Salam Maal Hijrah 1433 H buat pembaca & diri sendiri.

Setiap Awal muharram ... saya bertekad untuk berhijrah.
Berhirah ke arah yg lebih baik semestinya.
Hijrah saya ada 2. Hijrah fizikal & hijrah spiritual. Tetapi ... saya tidak dapat menilai, 
~ Apakah hijrah spiritual saya, pada setiap tahun berakhir itu tercapai seperti apa yg diharapkan?
~ Apakah hijrah fizikal saya, setiap kali saya berpindah ke daerah2 lain, dgn ruang & peluang yg Allah SNW berikan, telah saya manafaatkan?
Hmmm ...teringat saya lirik lagu Stacy, "Jahatnya kamu ... jahatnya kamu ..."
Terasa bagai terkena batang hidung sendiri, bait2 lirik itu se akan2 begini bunyinya, "Jahatnya aku ... jahatnya aku ..."
Ya ... saya terasa saya jahat, jika pada usia melebihi 1/2 abad, saya 
~ masih gagal utk berubah, sebagaimana hukum alam. Yakni semua benda hidup mesti berubah (yg tidak berubah ialah benda mati ... ). Yg muda jd tua, yg baru jd lama ... 
~ masih gagal utk melawan, apatah lagi mendidik ... nafsu dlm diri. Masih suka marah2, dengki2 ...
~ masih gagal untuk istiqamah dalam beramal. Masih bermalas2 & berlengah2 ...
~ masih mengundang mudarat pada orang/makhluk/benda keliling saya. Tidak tunai hak2 jiran, kejam pd haiwan, buang sampah merata2 ...
Itu sebahagiannya. Jahatkah saya????
Teringat Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
"Setiap kamu bersalah ... sebaik yang bersalah adalah yang kembali."
Maka pada setiap kali kesedaran itu, saya pun bertekad untuk berubah. 
Dan pada setiap akhir tahun hijrah, dan permulaan tahun hijrah berikutnya, saya berdoa ...

"Ya Allah, berikanlah kami hidayah untuk berhijrah ke arah yg lebih baik. Kurniakan kami kesabaran, kesihatan  & istiqamah untuk mencari ilmu & beramal. Semoga hijrah kami memberi manafaat kepada mereka2 yg kami dampingi ... Aminn"



26 November 2011

Berdua ...

Kami memulakan kehidupan sebagai suami isteri dgn menyewa rumah di Gombak. Pada awalnya, rumah kami hanya ada tilam 'single', sebiji kuali & periuk yg semuanya dipinjam dari kakak ipar. Selebihnya, bantal, selimut, almari pakaian 'single', dapur 'single' & pinggan mangkuk adalah kepunyaan saya semasa tinggal bujang. Suami tiada apa2 kerana tinggal dgn abangnya (yg kami pinjam tilam, kuali & periuk tu). Alas kami ialah sebidang tikar mengkuang pemberian mertua. Itulah peralatan asas kami selama beberapa bulan pertama hidup berdua. Sedikit demi sedikit kami membeli apa yg perlu. Tapi kami bangga kerana ianya titik peluh kami & ianya satu kenangan nostalgia yg tidak pernah jemu kami 'rewind' baik kepada anak2 maupun semasa kami berdua. Kenangan terindah susah payah kami membina syurga rumahtangga!!
Saya masih ingat, tv 14" pertama kami ... seronoknya ada tv, walaupun '2nd hand' & terpaksa letak atas lantai aje! Kemudian kami beli set sofa yg jiran kakak ipar nak jual, dgn harga RM150.00. Bila kami pindah ke Kuantan, sofa tu kami beri pada rakan2 bujang suami (yg banyak membantu ... itu kisah lain pula). Tetapi kami simpan meja kecil 'side table' sebagai kenangan (kini tempat tv utk 'game' Muaz & Amar). Kemudian kami beli peti ais, RM200.00 ... tapi tak lama sebab 'freezer' asyik dipenuhi ais beku (masa tu 'defrost' secara manual). Akhirnya terpaksa beli yg baru, secara ansuran. Peti ais tu kami bawa ke Kuantan & bila pindah ke Kelantan, kami jual pd budak SKS pejabat saya dgn harga RM100.00 (sbb dia tak nak saya beri secara percuma - harga diri seorang anak muda yg baru bekerja walaupun elaun cuma RM500.00).
Mula2 kerja, kami naiki bas mini. Bila saya mula mengandung, suami merasakan amat berisiko menaiki bas mini (sapa2 yg pernah naik akan tahu ...). Lalu dia membeli sebuah motorsikal (juga 2nd hand) secara ansuran (suami kenal tauke kedai sbb semasa 'student' dia pembeli tegar motorsikal '2nd hand' kat situ utk jual pd 'students' baru, 'business' guna duit biasiswa, sbb tu ada duit nak kawin awal ... hehe). Jadi bila lihat pengguna2 motorsikal berhenti dihentian bas, stesyen minyak, bawah jejambat tatkala hujan ... terkenang kami juga pernah begitu dulu. Satu hari, ketika kesesakan pagi di Jalan Pudu (depan jel Pudu), suami terlanggar belakang kereta Merc! Motorsikal kami terbalik, saya yg sedang sarat mengandung anak sulung tergolek dijalanraya. Mujurlah semua kenderaan 'standstill' masa tu ... ramailah yg menolong Mak Buyong ni. Drebar Merc tu yg paling 'concern', tak marah pun belakang keretanya kemek, tetapi sibuk menanyakan perihal saya ... (antara perkara seronok bergelar Mak Buyong!!)
Rezeki kami, tidak lama selepas insiden itu, abang suami hendak menjual VWnya (yg suami pinjam masa pergi rumah sewa saya ketika bertunang dulu ...). Apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang, kami membelinya tanpa banyak berkira. Itulah kereta pertama kami, VW dgn nombor plat BAB 7788 (sampai sekarang masih dok menyesal kerana menjualnya). Kami bayar separuh tunai (hasil jualan motorsikal) & bakinya secara ansuran juga.
Bila perut saya makin membesar, membasuh kain secara 'manual' amatlah susah. Jadi terpaksa juga membeli mesin basuh (yg paling murah yg jenis 'semi-auto', pun terpaksa ansuran) walaupun sudah terasa perit perbelanjaan tinggal diibukota dgn gaji (walaupun berdua) yg tak seberapa. Itu belum lg ber 3, ber 4 dan seterusnya ... 
Kami bersyukur kerana berjaya melepasi cabaran peringkat awal perkahwinan. Fasa mengenal hati budi, kelebihan & kekurangan pasangan pilihan hati. Bohonglah jika kami tidak pernah bertekak & selisih faham. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Tetapi, berkahwin pada usia muda telah mendewasakan kami berdua. Dalam tempoh itu, kami belajar erti kesabaran, tolak ansur, tanggungjawab & kesederhanaan. Dan yg paling penting ialah ... saling memberi & menerima, seadanya. 

Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit Dahulu, Bersenang-senang Kemudian.

23 November 2011

Tetap & Tak Berpencen ...

Jawatan ini memang tak diiklankan di mana2 media, bercetak atau letronik ...
Yg 'best'nya ... ia jawatan tetap & tak perlu pencen2, hingga ke akhir hayat.
Tapi ... yg tak 'best'nya, ia tiada gaji!!!! Mungkin ada elaun atau imbuhan, tapi gaji tetap ... Maaf, tidak pernah diujudkan oleh siapa2!!
Dan yg menjawat jawatan ini pun, tak pernah meminta ...
Dan, menambah 'hairan bin pelik' ... jawatan inilah yg paling banyak yg menjawatnya ...
Seantero dunia ... utara selatan, timur dan barat. Kutub utara & kutub selatan pun ada!
Tak betul ke mereka2 ini?? Dahlah kerja percuma, tak dibayar gaji ... tak minta upah lagi!!
Hmmm ... mungkin mereka2 ini orang2 yg teramat mulia & baik hati, atau pun dah teramat kaya ... atau ..... (tak sanggup nak menyebutnya). Tak baik kata orang .....
Sebenarnya ... jawatan inilah yg paling MULIA!! 
Di iktiraf di dunia, lebih2 lagi di akhirat ... dan hanya boleh dijawat oleh kaum WANITA sahaja!! 
Allah SNW meletakkan mereka2 ini di carta no. 3 yg perlu dihormati, selepas Allah SNW & Rasullullah SAW ...
Hebat bukan ... Raja & Menteri pun kalah. Raja & Menteri pun kena hormat padanya.

Dah boleh teka ya??? (^_^) atau masih 'blur'??? 
OK lah ... jawatan yg saya maksudkan ialah .... I B U!! Dan ianya khusus untuk kaum wanita sahaja. Tidak perlu saya huraikan tugas2 se orang ibu & bagaimana dia melaksanakannya. Semua penilaian ke atas prestasi perkhidmatannya selama bertugas, boleh dibuat sendiri oleh anak2nya (anda, saya). 'Final Assessment' serta balasan, sudah tentu oleh Allah SNW (Yg Maha Mengetahui). 
Tapi, nak uar-uarkan di sini, buat pengetahuan para penilai (anak2 lah tu) ... ketahuilah bahawa ganjaran/hadiah yg paling ibu mahu ialah perhatian & kasih sayang anak2 (+ menantu + cucu2). Bagaimana?
~ selalu2 lah pulang ke desa menjenguknya (dgn kapal terbang ke, MPV/SUV yg lawa2 tu, nak ibu merasa menaikinya), 
~ selalulah angkat smartphones anak2 yg canggih manggih  tu, hubungi ibu bertanya khabar ...(p.s. belilah utk ibu satu, boleh 3G dgn cucu2).
Senangnya untuk membahagiakan hati seorang ibu. 
(p.s. kalau  nak beri apa2 ganjaran lain padanya, terpulang ... mesti ibu suka kan!!! Uhukkk Uhukk ... maaf tebatuk pulak pagi2 ni).
(p.ss. tiba2 dtg ilham ini, mencurah2 seperti hujan diluar sana ...)

22 November 2011

Kaktus Adik Berbunga ...

Semalam,
"Mama! Pokok kaktus Adik ada bunga ..."
Biar betul Amar ni! Musim2 hujan begini pokok kaktus berbunga?
Dan inilah bunga pokok kaktus yg  dikatakan Amar!!! (^_^)


Dan petang tadi, Amar melaporkan ...
"Mama! Kulat tu dah takder. Ehh!! Dah mati la ..."
Nampaknya kulat yg tumpang pokok kaktus Adik tu, hayatnya cuma 1 hari.
(p.s. Ada kulat hayatnya seminggu, ada juga berbulan)

OK ... mari kita lihat kebaikan2 kulat yg Allah SNW cipta.
Adik tahu? Kulat walaupun kecil & nampak macam tak mustahak, ada banyak guna sebenarnya.
~ Macam, kalau Mama nak buat donut yg Adik suka tu ... Mama kena ada ragi. Ragi tu sejenis kulat, omputeh kata 'yeast'. Ada ragi baru donut naik gebu elok, roti pun guna ragi. Ejen penaik gitu!
~ Kalau Mok buat tapai pulut atau tapai ubi, Mok guna ragi jugak. Baru tapai masak elok & manis! Ejen penapaian lah tu ...
~ Hmmm ... 'Mushroom Soup' kat PH yg Bebe suka tu, guna cendawan. Cendawan tu kulat yg boleh dimakan. Cendawan Goreng kat CH yg Ecu suka dan Gulai Kulat Sisir kegemaran Ayoh, pun sama.
~ Ada kulat berguna utk dibuat ubat ... macam antibiotik nama Penisilin. Gunanya utk matikan kuman yg bahaya.
~ Kalau ada pokok tumbang, kulat2 akan tumbuh atasnya. Batang pokok ni jadi makanan kulat2 ni. Lama2 batang pokok pun kering, reput & akhirnya jadi macam tanah balik. Jadi, kulat ialah ejen pereputan utama alam ini  Bayangkan kalau tiada kulat, tentu batang pokok tu (dgn daun, buah & akarnya) tak reput2. Susahkan!! Kalau kat hutan, tentu banyak pokok2 yg tumbang, & kalau tak reput2 ... macamana pokok2 baru nak tumbuh & membiak? Dan kita tentu tak dapat nak 'jungle trekking' sebab tak ada jalan/ruang nak lalu?
Itu antaranya. MASYAALLAH ... Bijaknya Allah SNW.
Kulat ni bukan saja banyak guna, kuat juga rupanya!!
Jadi .. lepas ni kalau Adik jumpa kulat, ingat apa yg Mama cakap ni. OK??
(p.s. Oh ya! Lupa Mama nak cakap ... ada juga kulat yg bahaya disentuh & dimakan. Penyakit yg disebabkan kulat pun ada. Jadi, Adik kena hati2 dgn kulat2 begini ...)

21 November 2011

Daging Merah Ala Mama ....

Dari minggu lepas lagi Amar & Muaz 'request' saya masak daging merah. Tapi saya buat alasan, dah banyak sangat makan daging semenjak raya korban lalu. Tak elok. Tunggu minggu depan pulak!!
Hari ni, genap2 seminggu saya berjanji. Dan bila janji dengan Amar, kena kotakan tepat spt yg dijanjikan. Pagi2 lagi dia dah 'reminder' saya. Maka saya pun tanpa berlengah keluarkan daging dari dalam  petiais (p.s. ini daging korban yg orang beri ari tu, masih ada 2 'tupperware' lg). 
"Mama buat macam yg kita makan kat K.Terengganu hari tu ye. Sedappp ..." (Hmmm ... macamlah mamanya ini tukang masak tersohor, boleh masak apa saja!)
"Mama cuba ok. Kalau tak sesedap macam yg Adik makan tu, sori ye"
"Mama masak mesti sedappp ...". Yakin sungguh Amar (-_-')

memang sedap masakan di restoren ini ...
Komen Juri Muaz & Amar ke atas Daging Merah yg saya masak tengahari tadi.

Sebelum makan;

Muaz ~ "Mama! Mengapa warna dia macam ni?"
Amar ~ "Mama! Tak serupalah ..."

Selepas makan;

Muaz ~ "Mama! Nak tambah lagi ..."
Amar ~ "Sedappp ... lagi sedap dari yg kita makan hari tu ..."
(^_^)
(maaf tak sempat ambil gambar, sbb dah habis ... licin!!)

Resepi Daging Merah Ala Mama

Bahan2nya:
300 gm daging - potong nipis2 bentuk empatsegi bujur
6 ulas bawang merah - tumbuk halus
3 ulas bawang putih  - tumbuk halus
1 sudu besar cili kisar (tambah jika suka pedas)
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos tiram
2 helai daun limau purut
2 batang serai - ketuk
garam, gula secukup rasa

Cara Memasak:
1. Panaskan minyak, tumis bahan2 tumbuk & serai hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar, tumis hingga garing. Masukkan daging, kacau rata.
3. Masukkan semangkuk air, kacau & rebus selama 30 minit (daging empuk).
4. Masukkan sos tomato, sos tiram dan sos ikan. Kacau sebati & biarkan hingga mendidih.
5. Masukkan daun limau purut, garam, gula secukup rasa. Tambah air & sos tomato jika suka kuah lebih.
6. Jika suka, masukkan tomato (potong kiub) & potongan daun bawang/leek, kecilkan api. Biarkan merenih sebentar & pecah minyak. Angkat.

(p.s. saya rasa rahsia kesedapan resepi ini & resepi2 lain yg saya masakkan untuk anak2 adalah kerana ianya hasil air tangan saya, seorang ibu yg memasak kepada anak2nya, yakni dari mereka kecil hingga sekarang ~ tanpa jemu , dgn seikhlas hati & dgn sepenuh kasih sayang).

20 November 2011

Aku Nikahkan Kamu ....

Kami kahwin pada usia 22 tahun. Baru beberapa bulan bekerja. Ketika kawan2 sebaya ghairah dgn rancangan melanjutkan pelajaran lagi (dalam & luar negara), entah mengapa kami berdua memilih untuk menamatkan zaman bujang pada usia begitu muda??? Saya tiada jawapan, tapi saya pasti inilah jodoh pertemuan yg telah Allah tentukan. Yg saya tahu ialah, ianya tidak susah bagi saya memutuskan untuk menerimanya mula2 sebagai tunangan, kemudianya sebagai suami. Saya rasa dia pun begitu juga. Kami sama2 bersetuju! Dan yg paling penting, restu dari kedua ibubapa saya & ibunya (bapanya meninggal ketika SiDia masih dm kandungan ibunya).

SiDia dan Tok Imam,
Ayah berkopiah putih, kiri sekali ...
Pada akad ke 3, saya sah menjadi seorang isteri. Ketika itu, macam tak percaya status saya sudah beralih, dari seorang anak kepada seorang isteri!! Dan saat itu jugalah, segala tanggungjawab & amanah yg ayah pikul selama 22 tahun kini beralih sudah kepada SiDia ... Semasa meminta izin saya, mata ayah berkaca2, ada getar dalam suaranya. Ayah mana yg tidak risau melepaskan puteri yg dijaga bagai menatang minyak yg penuh, kpd lelaki lain. Akan terbela & terjaga kah anaknya dgn SiDia nanti, mungkin itulah yg belegar2 dihati ayah ketika itu ..... 

Majlis kenduri kahwin saya semestinya meriah. Apa tidaknya, saya anak sulung ayah. Maka habis saudara mara, rakan kenalan (jauh & dekat, lama & baru) sebelah ayah & ibu dijemput. Rakan2 saya & SiDia juga. Dan, atas persetujuan ibunya, kami gabungkan kenduri kedua pihak. Maka sanak saudara, rakan taulan sebelah SiDia, sibongsu ibunya juga dijemput sama. Meriah sungguh!! Kan saya sudah cerita yg SiDia adalah jiran seberang jalan aje, maka sepelaung ajelah jaraknya. Itulah juga cara menguar2kan ketibaan rombongan pengantin lelaki ... "Cik Ani!!! Kami nak datang berarak dah ni ...!!!!" (p.s. Hehe .. betul berlaku begini, bukan rekaan!)

Nampak tak atap rumah seberang jln tu? Itulah rumah mertua ...

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya;

"Pilihlah tempat yg baik untuk keturunan kamu, dan berkahwinlah dgn yg sekufu"

(HR Ibn Majah. Al-Darukhutni & Al-Hakim drpd Aisyah r.a.)

19 November 2011

Muaz ... cheewahh!!

Semalam mengemas gambar2 lama ... 2 kotak semuanya
Gambar2 ini adalah yg tak dimasukkan album individu kerana ...
~ terlalu 'candid', tak 'ready', tak lawa lalu & tak sesuai utk dipertontonkan (haha ...)
~ bukan 'the best photos', hanya yg terbaik (ikut kiraan tuannya) boleh masuk dlm album masing2
Nak buang sayang ...
Sambil mengemas sambil tengoklah ... lepas satu satu, dan sengih sorang2!!
Pastu ... Muaz & Amar 'join' sekali, riuh rendah tanya itu & ini
Balik dari surau ... suami pula bersimpuh sama ...
Akhirnya, bukan mengemas ... lagi bersepah ada!!
Dan ... kenangan2 lalu pun dibuka satu persatu dgn setiap gambar2 yg dilihat
Bila budak dua orang tu jumpa foto zaman muda2 saya & suami,
~ Apa lagi ... macam2 komen mereka
Bila lihat gambar2 yg ada anak ke 2 serta datuk mereka,
~ Sedih pun terasa ... gembira juga kerana ada banyak memori kenangan bersama
(Moga Allah tempatkan roh mereka berdua bersama orang2 yg soleh ... Amin)
Dan saya terperasan ... masa kecik2 dulu Muaz ada 'posing' kegemaran!!

Mari kita tengok ...





(^_^)
    

18 November 2011

Kasih Ayah ...


Senario 1
Seawal pukul 4.00 pagi, suami dah bertolak ke Dungun. Bukan 'outstation' ... tapi hantar kereta. Hantar kereta?? Kalau anda tertanya2 apakah kereta itu kereta mewah 'limited edition' yg hanya ada pakar di Dungun? Salah tekaan tu ... Suami hantar kereta kepada anak perempuannya yg bekerja di Dungun. Kereta biasa2 ... kereta saya (uwaaa ....!!!). Agaknya dah sampai pun. Nanti dia balik dengan bas ...
Itulah kasih ayah!!!

Senario 2
Masa saya masih kerja kat Pahang dulu, saya dikenali dgn singkatan jawatan saya 'EO'. Kalau orang sebut nama saya, ramai yg tak kenal .... tapi bila sebut EO, semua orang kenal!
Pejabat telah anjurkan satu kursus selama 2 hari di Lanjut Beach Resort, Rompin. Saya berkongsi satu chalet dengan salah seorang kakitangan saya. Waktu lapang yg terluang selepas makan malam, memberi saya peluang untuk mengenal hati budi 'staff' saya ini dgn lebih dekat (saya ada hampir 100 orang kakitangan). Suatu malam dia bertanya, 
"EO masih ada kedua2  ibubapa?"
Saya jawab ya, dan ajukan soalan sama buat dia. Dengan perlahan dia menjawab, 
"Ibu dah lama meninggal dunia, semasa melahirkan adik bongsu, anak ke 10. Ayah masih ada". 
Belum sempat saya bertanya lagi, dia menyambung tanpa diminta, 
"Mesti EO ingat Ayah saya kahwin lagi selepas tu kan?". 
Telahan yg tepat. Lalu dia menceritakan bagaimana Ayahnya menolak saranan saudaramara/rakan agar berkahwin lagi. Ayah kasihankan kami yg masih kecil terutama adik bongsunya yg masih bayi. Dia masih ingat bagaimana Ayahnya bangun seawal pagi untuk siapkan sarapan & keperluan sekolah kami. Kemudian dia akan hantar kami menaiki bas sekolah. Kemudian dia akan  uruskan adik bongsu dan hantar kepada jiran sebelah rumah sebelum bergegas ke tempat kerjanya. Sebaik balik dari sekolah, makanan tengahari telah tersedia (Ayah balik hantar) dan abang2 akan pastikan agihan kerja yg telah Ayah tugaskan dilaksana.  Malam, Ayah masak sendiri dan duduk disisi kami semasa kami siapkan kerja sekolah. Menjadi anak2 yg tiada ibu menyebabkan kami cepat dewasa, berdikari & patuh (kerana kasihankan Ayah).
Sambungnya lagi, "Bila kami meningkat dewasa, Ayah masih begitu juga. Menolak pelawaan untuk kahwin lagi ... Kalau dulu alasan Ayah, dia tidak mahu anak2 kehilangan kasih Ayah pula, anak2 rasa sedih & terabai, kini dia sudah selesa dan sudah terbiasa dgn kehidupanya sekarang. Lagipun anak2 dah besar, tidaklah sesusah dulu lagi".
Bila adik bongsunya selamat diijabkabulkan , Ayah yg dah pencen tinggal seorang diri dirumah. Hanya hujung minggu menyaksikan rumah riuhrendah dengan anakcucu yg sentiasa menziarahinya. Hari2 yg selebihnya, Ayahnya isi dgn ke surau berdekatan, berkebun, pelihara ayam itik dan kambing. Puas dipujuk dia agar kahwin lagi, sekurang2nya ada peneman hidup dan menjaga makan pakainya. Tapi begitulah Ayah, hanya senyum tanpa apa2 respon. 
Sebak saya mendengar pengorbanan seorang ayah. Diakhir cerita, Mathom (nama 'staff' saya ni) beritahu dua bulan lepas, akhirnya Ayah bersetuju untuk dijodohkan dengan seorang saudara yg juga telah lama kematian suami (anak2 wanita mulia ini juga setuju). "Alhamdulillah, saya gembira kerana melihat Ayah bahagia kini!".

Saya pun!! Moga Allah memberkati & membalas pengorbanan Ayah semulia ini ... Aminn

17 November 2011

Siapa nak Marconi??

Semalam, kononnya nak cipta kelainan dlm menu 'dinner'!
Kebetulan 'elbow macaroni' tu dah lama tersadai dlm pantri ...
So, saya pun masaklah 'macaroni cheese' ...
Sedihnya (~_~) ... sebab saya sorang je yg makan.
Yang lain, semua terkam nasi juga!!!
Mujur saya asingkan kuah dan makaroni tu ...
Petang tadi ... saya 'improvise left-over' makaroni tu ...
Saya jadikannya ... makaroni bakar pula ~ tambah sikit perencah, ayam, telur dll
Hingga sekarang, saya sorang juga yg makannya ...
Saya hulur sepiring kat suami, dia siap geleng kepala,
"Abang tak suka marconi!!!"
Hmmmm ... menyebutnya pun dah salah, apa lagi nak memakannya!!
"Bang, Marconi tu yg cipta radio ... ini makaroni!!"
"Apa2lah ... kejap lagi Abang nak makan nasi. La ni nak tengok Harimau Muda serang Indon.!!!"
Kesimpulannya ... keluarga saya tak suka pasta!!
(p.s. hari tu buat speghetti, pun tak layan. Siap kata mee goreng lg sedap!! Apakah saya yg x pandai masak pasta???)


Inilah Makaroni Bakar saya.  Siapa nak???


16 November 2011

Milo & Kopi ... Minggu Suaikenal

Sapa ni?

Jangan dekat!!! ...

Boleh berkenanalan??
Hai ... Saya Kopi!

15 November 2011

Explorasi Hati ...

Rasulullah s.a.w. bersabda yg bermaksud:
"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan ini adalah hati"
(Riwayat Bukhari & Muslim dr Nukman bin Basyir)


Mengapalah susah benar untuk memujuk & merawat hati ini ...
Perkara yg berlaku bukanlah sebesar mana ...
Tapi sakit dan terlukanya hati ini agak lama dan susah reda ...
Telah cuba ku pujuk hati yg satu ... agar redha, pasrah & sabar dgn segala yg berlaku ...
Berbaik prasangka dgn SiPelaku, tidak berdengki dan merendah diri dengannya ...
Bibir telah mengukir senyum dan berkata maaf, tapi apakah diri ini sebenarnya ikhlas?
Kerana dihati, marah itu masih bersisa !!
Kiranya ilmu ini masih belum cukup & ibadat ku masih banyak yg kurang ...
Ku akui, memang teramat susah merawat hati yg terluka & disakiti!
Agaknya Nafsu & Syaitan sudah berjaya dlm kerjasama mereka, menakluk & menjajah hati ini ...
Naauzubillah ... tidak aku mahu & rela hati ini dijajah & ditawan mereka, tidak sekali2 ...
Walaupun kekadang aku kalah, aku tewas ... aku perlu bersihkan hati!!
Ya Allah ....
Kiranya hati ini tergolongan dalam Qalbun Maridh (hati yg sakit) ...
Bantulah aku usahakan untuk miliki Qalbun Sahih (hati yg suci) ...
Ya Allah ... 
Jauhilah aku dari mempunyai Qalbun Mayyit (hati yg mati)!!!
Moga aku sentiasa sabar & istiqamah dalam merawat hati ini ...
Dan akan ku usahakan juga menjaga prilaku lidah, mata & perut ini ...
Dengan memperbanyakkan sifat mahmudah ... Aminn.


Rasulullah s.a.w. bersabda yg bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi hanya memandang hati & amal kamu"

(Riwayat Muslim drpd Abu Hurairah)

14 November 2011

Alam Pertunangan

Berikut kenangan berapa peristiwa yg paling saya ingati sepanjang menempuh alam pertunangan:
Perubahan
Sudah sekian lama hasrat ini terpendam. Bila sudah menjadi tunangan orang, rasanya inilah ketika yg sesuai untuk perubahan itu. Satu keputusan yg agak janggal ketika itu, tetapi hati sudah nekad dan syukur ada K.Ani (PA Boss kami), mentor yg sentiasa memberi dorongan dan sokongan. Dia jugalah yg banyak membantu saya dalam merealisasikan hasrat ini. Pada hari saya melakukan perubahan tersebut, ditakdirkan semasa pulang dari kerja & menunggu bas di Perhentian Bas Kelang, bertemu SiDia Tunangan. Sudah 2 minggu kami hanya berhubungan melalui telefon dan sudah lama dia tidak datang ke rumah kerana tugasan luar daerah yg kerap. Lalu saya menegur dia dengan perasaan yg berbunga2 dan tertanya2 apakah SiDia Tunangan akan menerima perubahan ini? Alangkah kecewanya apabila dia tidak pun memandang saya, sebaliknya memberi jawapan & senyum kepada Zah, teman sepejabat saya. Dan dia terus berlalu .... Zah terkedu dan cuba memujuk. 
Malam itu, SiDia Tunangan telefon, beriya2 dia memohon maaf. Katanya dia amat gugup sekali apabila seorang gadis ayu bertudung menegurnya. Betul ... dia tidak menyangka sama sekali gadis itu ialah saya, walaupun hatinya berdetik bahawa suara itu semacam biasa dia dengar. Bila berada jauh dan diperhatikan, barulah dia sedar bahawa tunangannya telah berubah ke arah yg dia memang dambakan. Dia amat2 bersyukur atas perubahan itu dan lega kerana telah lepas satu amanah yg bakal dipertanggungjawabkan ke atasnya kelak, iaitu 'menutup aurat'  bila sah jadi suami isteri nanti.

Pinjam Sekejap
Teman dan ketua rumah sewa saya ialah seorang artis terkenal ketika itu. Menyewa bersamanya memberi kami peluang untuk kenal dan dekati beberapa artis lain yg datang ke rumah. Namanya Noreen Noor!! Walaupun dia seorang selebriti, dia amat menjaga tingkah laku dan bukan sembarangan orang lelaki dapat datang ke rumah sewa kami. Neneknya pun tinggal serumah dgn kami. SiDia Tunangan dikecualikan kerana sudah menjadi tunang saya. Waktu ziarah hanya siang hari, hujung minggu dan terhad di ruang tamu. Saya menyenangi peraturan itu.
Suatu hujung minggu, seawal pagi sebuah kereta Porsche 'parking' diseberang jalan hadapan rumah. Pemiliknya, seorang artis juga (tapi sudah suami orang) sedang berdiri ditepi kereta sambil menghisap rokok. Noreen beritahu kami bahawa artis tu nak jumpa dia, tapi Noreen enggan dan memang sudah beritahu artis tersebut jangan datang & jangan ganggu dia. Jam demi jam berlalu, artis tu masih di situ. Puntung2 rokok bersepah di bawah, Noreen dan kami mula gelisah (sebab tak dapat keluar rumah). Tiba2 kami terdengar bunyi enjin kereta yg amat 'familiar'. Dari jauh kami nampak kereta VW tersengguk2 menuju ke rumah kami. Tiba2 Noreen berkata,"Muni (nama manja dgn kawan2 je), pinjam tunang awak sekejap!" dan sebaik SiDia Tunangan menghampiri pintu pagar rumah, Noreen meluru keluar, buka pintu pagar dan isyaratkan SiDia Tunangan 'parking' bawah porch. Noreen terus tutup pagar rumah, buka pintu kereta dan dgn aksi lentuk manja, jemput SiDia Tunangan masuk ke rumah dan tutup pintu rumah! Dari dalam dapat kami saksikan artis tersebut memijak2 baki rokoknya dengan penuh geram, masuk dlm kereta Porsche, tutup pintu kereta dengan kuat dan memecut pergi dgn laju. 
Pecah berderai ketawa kami, sementara SiDia Tunangan masih tercegat, terkebil2 hairan + pelik dgn gelagat kami, juga dengan layanan istimewa yg tiba2 dari Noreen tadi. "Terima kasih banyak2 Wan. You saved my day! Lucukan, VW vs Porsche, mau tak marahnya ... hahaha". Kesian SiDia Tunangan, dipergunakan tanpa sedar. Tapi selepas diceritakan semua, SiDia Tunangan turut ketawa dan selamba kata, "Wah ... saya dah jadi hero hari ni!". Hari tu kami dijamu masakan 'special' Noreen.(p.s. Noreen memang pakar masak).

Bukan Pilihan
Setiap orang mesti pernah ada bapa saudara kesayangan. Biasanya bapa saudara ni anak yang bongsu dan masih belum kahwin. Dan setiap kali pulang kampung, bapa saudara feberet akan layan dan ikut saja apa kehendak kita kan! Jadi bila bapa saudara kesayangan bertunang atau kawin, kitalah orang yg paling kecewa kerana selepas itu bapa saudara ini akan berubah & tidak dapat melayan kita lagi seperti dulu. Begitu jugalah N dan bapa saudara kesayangannya, yakni tunangan saya.
Semestinya saya bukan calon pilihan N buat bapa saudaranya. Semuanya jelas ketika saya diajak turut sama ke NS oleh K.Jan (kakak ipar tunangan). Mula2 kami singgah dirumah sepupu K.Jan yg juga kakak kpd teman sepermainanan saya. Selepas itu, ziarahi N (masih belajar dimaktab perguruan). Dirumah sewanyalah N telah zahirkan rasa tidak puashati terhadap pilihan bapa saudaranya ini. Sambil memandang tepat kepada saya, secara berjenaka dia kata kawan dia ini (sambil memeluk kawan yg dimaksudkan) lebih cantik, baik dan sesuai & sepadan dengan bapa saudaranya itu. Semua ini dikatakan secara terbuka, dihadapan semua, dan sudah tentunya saya amat terasa ketika itu. SiDia Tunangan tidak tahu peristiwa ini kerana dia tidak ikut sama. Lama juga saya dan N tidak sehaluan walaupun selepas kawin. Akhirnya saya sedar bahawa N bertindak begitu ketika itu kerana terlalu sayangkan bapa saudaranya dan hanya mahukan yg terbaik buat dia. Kini saya telah diterima sepenuhnya oleh N, mungkin kerana dia juga akhirnya sedar & tahu bahawa saya juga menyayangi bapa saudaranya itu setulus hati, sebagaimana dia.

11 November 2011

Milo 111111 ... Kopi, the newcomer

It was a dark rainy night and we're otw back home. As usual, a must 'pit-stop' for Amar at local 7-11. His keen eye spotted a tiny black furry ball at the shop's entrance. Upon getting back into the car, Amar kept saying how pitiful the kitten is.
Sudden heavy rainfall (again ...) saw the kitten trying to get into the shop. It was indeed a pitiful sight. Hubby & I looked at each while the children plead to take the kitten home. At last, hubby relented & I immediately rushed to the kitten's rescue.
An enquiry at the shop's counter confirmed the kitten was left there a day before. Asking for unused box, I put the poor kitten in it & took it home. The kids were a happy lot ... but I was already thinking about Milo's reaction to this new arrival. It was already late when we arrived home, so no time to introduce Kopi (the name given by Amar) to Milo.
The next day, saw Milo looking at the newcomer from afar while Kopi is being fed by Muaz. It is clear that Milo cannot accept the newcomer, not just yet. At the very sight of Kopi, Milo will hissed & snarled ... and Kopi will puffed up like a blowfish. This scene was repeated again and again until day 3.
Yesterday, Milo was sniffing at Kopi (still in cage), no more hissing just a small growl when the little one tried to get friendly ... a good sign. Today, I let Milo get near Kopi while I feed him outside his cage. Under my watchful eyes, of course. Kopi is OK with Milo, but the elder cat is still very cautious and still need time to get used having another cat, an 'adik' after a year being the only one!.
We are giving Milo extra attention so that he'll know we love him the same despite the newcomer. Can't wait for the day when the two accept each other. Milo is giving Kopi a short growl before leaving for his usual rounds! I'd like to think that as Milo's way reminding Kopi that ....

I'm the BOSS here, OK!!  (^"^)

JODOH ...

11.11.11 

Semestinya ramai pengantin baru pada tarikh yg begitu cantik & simbolik ini. Buat sepupuku, Sumi (nama manja) & pasangan, SELAMAT PENGANTIN BARU. Juga semua pengantin yg memilih tarikh ini untuk mendirikan rumahtangga. ... moga bahagia hingga ke akhir hayat.

Suatu ketika, 29 tahun yg lalu;
Berita ibarat "ribut tiada, angin pun tiada ... tiba2 pokok bergoyang" sedang hangat tersebar. Ya ... desas desus, khabar angin yg menyatakan SiDia akan masuk meminang saya bertiup kencang. Perasaan saya ketika mendapat khabar itu dari sepupu saya, Yah (moga Allah mencucuri rahmat ke atasnya & tempatkan dia bersama2 orang2 yg soleh) ialah ~ terkejut, marah & malu!!! Apa tidaknya, saya dan SiDia bukannya ada apa2, kawan sekampung aje. Dan saya zahirkan kemarahan kepada ke dua ibu & ayah. Lalu ayah cadangkan saya sendiri bersekemuka & minta penjelasan dari SiDia. Ibu pula menjadi orang perantaraan untuk menyampaikan hasrat tersebut. (p.s. SiDia ni jiran seberang jalan saya).
Maka pada hari Khamis minggu berikutnya, selepas waktu pejabat (saya baru bekerja & SiDia sedang menunggu keputusan 'final year exam' U dia) saya berjumpa (buat pertama kali hanya berdua) dengan SiDia. Perasaan gugup, berdebar, malu & takut silih berganti. Tapi kemarahan lebih menguasai hingga saya berani meminta SiDia menjelaskan keadaan sebenar. Rupanya kemarahan & keberanian tidak bertempat saya itu telah memakan diri. SiDia memulakan bicara, "Alang2 menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan." Saya mula rasa seram sejuk. "Biar saya terus terang sajalah. Sebenarnya saya sudah lama berkenan pada awak. Sejak pertama kali lihat awak masa Ting.3 ... dan bila jadi guru tuisyen ad hocs Add Maths masa awak Ting 5, saya mula sukakan awak.  Kini, saya dah jatuh cinta dengan awak!"
Kelu dan kaku saya ketiku itu. Muka rasa panas membara, kalau boleh mahu hilang saat tu juga. Saya tunduk seribu bahasa. Rasa nak menangis pun ada. Melihat saya begitu, SiDia cepat2 menambah bicara, "Tentang desas desus tu, bukan saya yg mulakan. Mungkin gurauan nakal budak2 kampung bila lihat saya selalu ke rumah awak setiap kali cuti. Memang saya akui, saya mesti nak jumpa awak dulu setiap kali balik bercuti. Awak marah?"
"Awak! Saya nak sambung belajar lagi kat 'oversea'. Kalau awak sanggup tunggu 4 - 5 tahun lagi, terserah ..." Angkuh sekali jawapan saya (sebenarnya berdalih menutup malu). Dan SiDia setia menunggu, saya pula tak pergi pun sambung belajar ... acah aje tu!! 'And the rest they say, is history ...'

p.s. Sebaik sampai ke rumah petang itu, terdapat sepucuk surat buat saya. Antara isi kandungannya;
" .... saya harap dapat berjumpa awak sebelum saya berlepas ke KL dan seterusnya ke US minggu depan. Saya perlu dapatkan kepastian tentang hubungan kita yg terputus tempoh hari. Saya akui, silap saya. Saya menyesal & saya minta maaf. Saya harap awak sudi beri saya peluang ke dua. Jika awak setuju, kita jumpa sebaik awak habis kerja Khamis ini di .... " . 
p.ss. SiDia lulus dgn jayanya, & masuk meminang setelah bekerja. Saya terima SiDia bukan kerana dia 'tall, dark & handsome' (bonus buat saya) tetapi kerana dia jujur, berani & sabar! Lagipun keluarga dah kenal dia dari kecil lagi ... saya pun bukan ada siapa2 dihati ketika itu. 

'Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk sempurnakan separuh yang berbaki.' (Al-Hadith)

Tips kerukunan rumahtangga:
'Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya, diredhai ..' 

Tiba2 teringat bait lirik lagu Meet Uncle Hussein ft Hazama "POKOK" ...
"Tanya sama pokok, apa sebab goyang ... Jawab angin yang goncang" 

09 November 2011

Masquerade ...

Disebalik topeng wajah ... 

Kepala Ultraman, Badan Batman!

~ Senyum dibibir, Menangis dihati
~ Mewah berjenama, Hutang keliling pinggang
~ Mulut kata sayang, Hati kata benci
~ Anak berderet, tapi "Saya masih bujang"
~ Depan manis bermadu, Belakang pahit bak hempedu
~ Luar rumah - Bahagia, Balik rumah - Perang dunia ke 3

itu antaranya ...

p.s. Terilham semasa melihat/mengenang gelagat manusia sambil menunggu anak balik sekolah tengahari tadi.

ISO RAYA ... suami isteri

Rutin wajib suami isteri dipagi Hari Raya ...
Bermaaf-maafan sebaik selesai solat subuh ...
Hanya berdua ... bersaksikan Allah Yang Maha Esa ...
Juga Raqib & Atiq ~ pencatit dosa pahala ...

"Bang, ampunkan segala dosa2 saya ya? Halalkan makan minum juga!"
"Maafkan keterlanjuran kata2, bebelan & rajukan serta yg terlebih & terkurang, yg sedar & tidak .."
"Abang 'write-off' semua ye?" 
(sambil salam & cium tangan suami, lama2 ...)
"Hmmm ... Abang dah ampunkan semua. Dah kira '0' pun!"
(sambil gosok kepala isteri ...)
"Abang pun minta maaf juga, mana yg terkurang, terkasar bahasa & yg mana2 Abang ada bohong2 tu!"
(dulu2 isteri akan pandang pandang suami dgn wajah panik, penuh curiga & dada berdebar2 ~ faham2 ajelah! hehe. Bila dah lebih 1/4 abad kawin, selamba jer isteri tanya ... )
"Hmm ... Bohong 'major' ke 'minor'?? 
( ISO Bohong )
"Hehe ... bohong 'minor2' je ..."
(Isteri ~ Fuhh! Lega ... )

p.s. mana boleh bohong masa minta maaf pagi raya kan! kann!??

05 November 2011

Amar - cuci cuci ...

Semalam menyaksikan Amar & Muaz di kerah 'Kak Ros' (gelaran buat kakak mereka, sebab garang mcm Kak Ros dlm Upin & Ipin) basuh bilik mandi. Mula2 mereka memprotes sakan,"Kalau Kak Ros balik mesti kena buat kerja!!" tapi selepas itu senyap semacm budak dua orang tu dalam bilik air. Apabila bau wangi menerjah seluruh rumah, bertempik 'Kak Ros' bila lihat pencuci lantai hanya tinggal 1/2 botol. Sambil bercekak pinggang, 'Kak Ros' menyelia & mengarah 'Upin & Ipin' (ha ha) menyental & mengosok lantai & tandas bilik air tu. Si adik seronok sakan jadi tukang pancut air ... Amar siap cakap, "Best main air ...".
Tidak lama kemudian jeritan, "Mama!!! Air tak der ..." oleh kakak mereka, masa mahu mandi, mengesahkan habis air setangki dikerjakan budak dua orang tu !!! (Mujur kami sentiasa simpan air 'spare' ~ tekanan rendah dikaw. perumahan saya menyaksikan air lambat naik ke tangki bila terlebih guna, mcm dlm kes ini). 
Keseronokan pertama kali mencuci bilik air ini telah meninggalkan kesan pada Amar rupanya. Sebab semasa dalam perjalanan balik dari menghadiri jamuan kenduri kahwin anak kawan suami di KB, Amar tiba2 berkata,
"Bestlah cuci tandas. Nanti besar, Adik nak jadi pencuci tandas ...!!"  

Spontan pecah berderai ketawa kami, dengan Amar yg kehairanan mengapa kami ketawa! Sebenarnya ketawa + risau (ibubapa mana tak kalut kalau anak bercita2 nak jadi pencuci tandas je! Maaf bukan menghina kerjaya tu, tapi ...). Jenuh saya, suami & kakaknya membetulkan persepsi  Amar tentang kerjaya cuci tandas ... dan hanya Muaz yg faham maksud sebenar/tersirat adiknya. 
"Kenapa Adik nak jadi pencuci tandas?" 
"Sebab dapat main air!!" 
(=_=')
(Padan muka kami, kalut tak tentu pasal dgn cita2 budak 8 tahun!!)

03 November 2011

Tiada lain ...

Ini


Ini


dan inilah


yang didambakan setiap warga Kelantan yang bermaustautin di luar sana, setiap kali Hari Raya Aidil Adha
(Raya Haji/Korban)

Seusai solat raya, setiap kg pasti ada 2 - 3 tempat korban dijalankan ...
Kadang2, seekor lembu diborong hanya satu keluarga ...
Maka korbannya pun di laman rumah itu aje ...
Macam kenduri pulak suasana ...
Dan,
Yang pasti, dari pagi hingga malam ...
Undangan tidak putus2 ~ jemputan makan ...
Dari,
Daging Bakar, Daging Gulai Kawah, Daging/Tulang Singgang ...
Daging/Hati/Jantung/Limpa Goreng & terlaris, Daging/Perut Air Asam ...
Tak lupa Sup Kaki/Gearbox/Tulang ...
Sungguh menyelerakan menu wajib musim korban ...
Juga,
Setiap rumah pasti dapat agihan ...
Ditangga/beranda rumah, tersangkut bungkusan daging korban ...
Entah siapa2 yg hadiahkan ...
Selain kiriman2 dari saudara mara/rakan taulan ...
Penuh peti ais, daging percuma ~ bekalan berbulan !
Itulah uniknya ...
Hari Raya Haji/Korban di Kelantan!!!

(p.s. Oh ya ... musim ini jg menyaksikan peningkatan dlm permintaan ubat2an berkaitan darah tinggi . Hati2 ya ...)

02 November 2011

Ingat 5 sebelum 5 ...

Minggu2 terakhir Oktober menyaksikan kami disapa berita2 yg seboleh mungkin hendak dielakkan. Berita2 mengenai sakit, mati, kemalangan dan dugaan/ujian yg menimpa orang2 yg dekat dengan kami. Saat menerima berita2 begitu, rasa terkejut, simpati & insaf silih berganti. Rasa tak berdaya juga kerana tidak dapat berbuat apa2 selain ziarah, memberi kata semangat, menghulur bantuan sekadar termampu dan berdoa agar mereka2 ini tabah, kuat, redha dan sabar menerima ujian2 dari Allah SNW ini. Saya yakin, setiap dugaan & kesukaran yg menimpa akan diganti oleh Allah SNW dgn sesuatu yg jauh lebih baik. Saya pegang hadis Rasulullah SAW yg bermaksud,

"Sesungguhnya perkara orang Mukmin itu seluruhnya menakjubkan. Tidakkah Allah SNW menetapkan suatu takdir kepadanya melainkan itu baik baginya. 
Jika dia ditimpa mudarat, dia bersabar dan itu baik baginya. 
Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya."
(HR Muslim)

Ia jua mengingatkan saya kepada lagu nasyid kumpulan RAIHAN (kegemaran anak2 semasa mereka kecil, menjadi dendangan mereka yg menghiburkan kami dikala perjalanan jauh spt balik kg! Rindunya saat2 itu ...). Nasyid itu tak silap saya, "Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara". Juga antara hadis yg ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya yg dikasihi;

Muda sebelum Tua
Sihat sebelum Sakit
Lapang sebelum Sibuk
Kaya sebelum Miskin
Hidup sebelum Mati

Maka saya berdoa pada Allah SNW semoga mereka2 ini akan diberikan NYA kesabaran dan kekuatan demi menempuh dugaan yg maha hebat ketika ini;

Anak Saudara Suami, Murni (Kuantan) yg telah menjalani pembedahan Hysterektomi (buang rahim dan ovari kiri) pada 08 Okt lalu. Ziarah kami minggu lepas menyaksikan beliau masih lemah, pucat & turun berat badan yg amat ketara. Doktor beritahu ambil masa sekurang2nya 2 bulan utk pulih spt sediakala (dgn andaian luka sembuh & tiada komplikasi lain). Menambahakan lagi masaalah beliau ialah, diabetes, darah tinggi & sakit tulang pinggul (akibat dirempuh kereta masa mengandung anak ke 2,19 tahun lalu, yg semakin serius dek faktor umur, 40+) yg dihidapinya. Suaminya pula menghidapi masaalah penglihatan yg kronik (yg memungkinkan beliau disarakan bila2 masa) & ibu yg menjaganya pun kurang sihat dgn pelbagai masaalah kesihatan (2 anaknya, yg sulung bekerja diKL & yg ke 2 masih belajar dikolej). Mereka bergantung harap sepenuhnya kepada jiran2 & rakan2 kalau hendak ke mana2 hatta untuk membeli keperluan harian (kerana sebelum ini segala2nya terletak di atas bahu anak saudara yg mulia ini). Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Walaupun dia amat2 tabah dan tidak bersungut tentang kesusahan yg dihadapinya, tp jelas terpancar kerisauan, ketakutan & keletihan diwajahnya. Moga Allah SNW memberi dia segala kekuatan di saat sebegini, dan cepat sembuh.

Keluarga Allahyarham Nuzul, rakan satu sekolah suami, yg meninggal dunia 29 Okt. Sebelum itu Allahyarham dimasukkan ke hospital kerana penyakit jantung dan kencing manis, tetapi penyebab kematian beliau ialah komplikasi pada buah pinggangnya. Suami bercerita bahawa rakannya ini seorang yg amat pandai tetapi penceraian ibubapanya menyaksikan prestasi beliau merudum. Beliau gagal ke U tetapi disaat kematiannya, beliau seorang usahawan yg berjaya & baru menyudahkan pembinaan rumah buat ibunya. Dia meninggalkan ibu, isteri & anak2 dalam kesenangan & dgn bekalan harta yg memadai. Moga Allah SNW mencucuri rahmat ke atas rohnya & tempatkannya disisi mereka2 yg beriman & beramal soleh. Aminn!! (Sedekahkanlah Al-Fatihah buat beliau ...). 

Rakan satu sekolah saya (Azizah Mat). Alhamdulillah rakan saya beserta madunya (yg memandu) dan 3 orang anaknya selamat dalam kemalangan disempadan Perak/Kelantan 28 Okt. lalu. Dia dan madunya hanya cedera ringan, tetapi anak2nya cedera agak parah (patah bahu/paha/rusuk serta luka2). 3 anak lelakinya ini masing2 berusia 10, 13 dan 14 tahun (kalau tak silap) kini dirawat di sebuah hospital di Tanah Merah. Dia dan madunyalah bergilir2 ke sini sana melayan, memujuk dan membelai anak2 yg merintih kesakitan. Dalam perbualan ringkas (suaranya jelas keletihan yg amat) dia begitu risaukan keadaan anak2nya. Buat Zah, 'be strong for your children ... be there always for them!!!'. Moga anak2nya cepat sembuh, dan rakan saya ini diberikan kesihatan yg baik demi anak2nya. Kata2 hikmat buatmu teman;

"Do not pray for easy lives. Pray to be stronger." ~ John F Kennedy
  
Kadangkala dugaan yg datang terlalu berat & tidak terduga. Namun kita tidak boleh sekali2 berputus asa atau takut, tetapi cuba untuk memahami ketentuan dariNYA itu. Kita perlu bersiap sedia menghadapi apa saja kemungkinan yang akan terjadi.