Hari ini terasa nak kongsi cerita lucu. Lucu bagi saya tapi mungkin tidak pada orang lain. Tapi nak jugak cerita sebab rasa nak ceriakan hari yang mendung ini.
Al-kisah, seorang suami tanpa pengetahuan isterinya telah berkahwin satu lagi. Kes poligami curi la ni ... Hendak jadikan cerita, pada satu hujung minggu, suami secara curi-curi (susahnya ..) telah pergi ke rumah isteri baru (no.2) dan membawanya keluar bersiar-siar, setelah memberitahu isteri pertama (no. 1, tak sedap sangat bunyi isteri tua) dia perlu ke pejabat sekejap, ada hal mustahak (biasalah, bila kahwin curi terpaksa jadi pembohong...!). Sebelum itu dia telah berjanji hendak membawa isteri pertama membeli belah setelah selesai urusan dipejabat. Sebaik saja hampir sampai ke rumah no.1, si suami telah terpandang sepasang kasut wanita di tempat duduk sebelahnya. Apalagi, kelamkabut dan berdegup sakan jantung si suami. Tanpa berfikir panjang, si suami memberhentikan kereta di tepi jalan, dan terus membuang kasut berkenaan melalui jendela. Dengan perasaan lega dan senyuman dibibir, si suami meneruskan perjalanan untuk mengambil isteri no.1 yang telah sedia menunggu di luar rumah.
"Lama tunggu sayang?" kata suami dengan pandangan penuh kasih. Sambil tersenyum, si isteri menggeleng kepala sambil mata melilau seolah2 mencari sesuatu di dalam kereta. Hampir meloncat suami apabila si isteri tiba-tiba berkata, " Abang ada nampak tak kasut yang saya baru beli semalam?"
Siakap senohong, gelama ikan duri,
Bercakap bohong, lama-lama mencuri.
** Kepada sesiapa yang telah terjumpa sepasang kasut, ketahuilah anda bahawa ianya masih baru dan telah menjadi mangsa silap faham poligami. Gunakanlah sebaik mungkin!! ^_^
No comments:
Post a Comment