Tengahari tadi, saya berteduh di bawah sepohon pokok kelapa hiasan di tepi jalan, pokok yang renik tetapi memadai untuk melindungi saya dari panas terik sang matahari. Saya sedang menunggu suami untuk ke sekolah si bongsu, menghantar bekalan makan tengahari. Hari ini Amar ada kelas Fardhu 'Ain yang hanya tamat pada jam 4.05 petang. Sekarang jam 1.05 petang, Amar rehat 1.15 petang. Kereta yang saya gunakan pula berada di woksyop, jadi terpaksalah menyusahkan suami hari ini.
Gembiranya saya bila nampak pokok tempat berteduh, hinggakan seekor burung bertempiran terbang lari lantaran terkejut kehadiran saya. Pada awalnya saya ingat saya telah mengganggu si burung yang sedang berehat. Tetapi sebaik memandang ke atas, MasyaAllah ... saya pula yang terkejut. Rupanya saya telah mengacau si ibu yang sedang mengeram. Dahan yang kecil, menampung sarang yang kecil dan tak seberapa dengan 2 biji telur yang agak besar juga jikalau dilihat pada si ibu tadi.
Kalau zaman saya kecil dan nakal dahulu, sudah tentu telur bersekali dengan sarangnya saya ambil. Zaman kanak-kanak yang penuh dengan kekaguman dan perasaan ingin tahu. Moga Allah ampunkan dosa2 saya ketika itu. InsyaAllah ...
Jika tadi saya gembira sebab ada pokok tempat berteduh, sekarang saya rasa amat gembira kerana masih diberi kesempatan olehNya menikmati pemandangan seindah ini lagi. Lalu saya terfikir betapa pokok sekerdil ini mampu memberi manafaat kepada saya untuk berteduh dan kepada burung berkenaan untuk meneruskan kesinambungannya. Si penanam pokok ini juga beruntung!!! Beliau mendapat pahala yang berterusan selagi pokok berkenaan kekal memberi faedah dan manafaat kepada alam sekitarnya dan makhluk Allah snw yang lain. Subhanallah ...!!!
Kereta rosak, Amar ada Fardhu 'Ain, panas mentari, semuanya telah menyebabkan saya bertemu dengan pokok renik dan telur burung ini. Alhamdulillah di atas nikmat ini. Sesungguhnya perjalanan hidup yang Allah snw aturkan untuk kita, hambaNya adalah yang terbaik buat kita. Sudah tersurat dan tersirat hikmahnya.
Hayatilah dan renungkanlah ungkapan masyur Iman Al-Ghazali ini;
` Tidak mungkin ada yang lebih baik daripada apa yang telah terjadi '